Lagi2 Kes Buang Bayi

25 August 2010




(kawan aku punya cita..aku copy paste ja kat sini..)

Mungkin sudah ditakdirkan, saya selalu kebetulan menemui kemalangan dan dapat membantu mangsa, atau kebetulan, ketika maklumat diterima, saya berada di kawasan sekitar.

Ketika menerima maklumat mengenai kes ini, saya berada di Taman Putra Ampang, kerana saya terlibat membantu beberapa bahagian dalam satu majlis bersama Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar malam nanti.


Maklumat kira-kira jam 3-40 petang menyatakan seorang bayi ditemui di dalam sebuah longkang dan bayi itu dalam perjalanan ke Hospital Ampang dihantar dengan ambulan.

Dan, kebetulannya, Hospital Ampang terletak kurang 1 km dari Taman Putra.


Saya meminta bantuan Sam yang juga AJK majlis tersebut yang kebetulan berada bersama saya, untuk membawa saya ke Hospital Ampang dengan laluan paling singkat dan pantas.

Saya tiba di Hospital Ampang kira-kira 6 minit kemudian dan benar, orang ramai dan beberapa petugas Hospital Ampang terpinga-pinga mengapa tiba-tiba saya ada di perkarangan Bahagian Kecemasan.


Akhirnya, beberapa minit kemudian ,sebuah ambulan Bulan Sabit Merah sampai dan saya dan Sam berjaya merakamkan visual dan foto bayi malang terbabit.

Saya kemudian bergegas pula ke Stesyen Minyak Petronas Klang gate di Hulu Klang, lokasi di mana bayi itu ditemui.


Sebaik tiba, saya dihampiri beberapa orang termasuk beberapa remaja dan bagai tahu maksud kedatangan saya, terus membawa saya ke lokasi bayi itu dijumpai.

Bayi perempuan itu ditemui kira-kira jam 3-20 petang apabila salah seorang dari remaja yang sedang bermain di padang berhampiran longkang besar, terdengar tangisan bayi.


Jamaluddin Marwani, 17 tahun merasa pelik kerana tangisan bayi itu kedengaran dari bawah kolong parit itu, lalu turun ke bawah.

Untuk mendapat gambaran lebih jelas, saya juga turut turun ke bawah untuk masuk ke dalam kolong, dan Jamaluddin menunjukkan kepada saya, kedudukan sebenar bayi itu dijumpai.


Amat mengejutkan, apabila bayi itu sebenarnya disumbatkan pula ke dalam satu saluran air dengan kedudukan kakinya sedikit terjulur keluar.

Setelah dikeluarkan oleh orangramai, bayi itu yang masih bertali pusat dan dalam keadaan kelaparan, diberikan susu.


Fadzilah Abdul Majid , 50 tahun, yang juga isteri kepada pemilik Stesyen Minyak Petronas Klang Gate berkata, dia merasa amat sebak melihat keadaan bayi itu yang langsung tidak ada sebarang kain membalut tubuhnya.
Seluruh badan bayi itu dipenuhi dengan lumut, lumpur dan amat kotor sekali.

Dia kemudian membawanya ke Stesyen Minyak dan memandikannya dan dibalut dengan kain sementara menanti ketibaan ambulan.

Ketika ditemui, badan bayi itu sejuk dan pucat, tetapi tiada kesan kecederaan pada tubuhnya.

"Siapa yang membuangnya, patut di sula", itu luahan Fadzilah kepada saya.


Dan bayi comel itu, yang dipercayai berbangsa Melayu, segera di bawa ke Hospital Ampang kerana keadaannya yang lemah dan pucat.
Keadaannya dilaporkan stabil.

Menurut penduduk, bayi itu dipercayai ditinggalkan samada pada tengah malam tadi atau juga mungkin ketika waktu sembahyang Jumaat beberapa jam sebelum ditemui.


Bayi itu amat bernasib baik kerana jika ditakdirkan hujan, bayi itu sudah pasti akan mati lemas kerana air parit itu cepat naik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika ditanya mengenai kejadian itu, mengesahkan mengenainya dan polis sedang berusaha mengesan orang yang bertanggungjawab melakukannya.

0 Budak Hitam: